

Antara dalil yang menjadi sandaran pendapat tersebut ialah firman Allah SWT dalam ayat 13 surah al-Hujurat yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu”. Ayat ini menjelaskan bahawa setiap manusia adalah sama sahaja dan yang membezakan antara mereka hanyalah ketaqwaan mereka kepada Allah SWT. Di dalam satu riwayat menceritakan; Aisyah r.anha berkata, “Sesungguhnya Abu Hudzaifah ibn Utbah ibn Rabi’ah telah mengangkat Salim sebagai anaknya (ketika mengangkat anak masih diperbolehkan) kemudian menikahkannya dengan puteri saudara perempuannya, Hindun bint al-Walid ibn Uqbah. Sebelumnya Salim merupakan seorang budak kepada wanita Ansor, lalu dimerdekakan”. – hadis riwayat al-Bukhari.

Jika benar suami isteri adalah pasangan sekufu, kenapa perpisahan berlaku? Jika benar suami isteri adalah pasangan sekufu, kenapa rumahtangga masih berantakan, sukar sekali mencapai keharmonian? Persoalannya, apakah pertimbangan kafaah yang sebenarnya dan siapakah yang terikat dengan pertimbangan ini? Ulama perpendapat, kafaah ialah satu penghormatan kepada seorang wanita. Bererti, kaum wanita perlu mempertimbangkan sekufu dalam memilih calon suami. Bertepatan dengan prinsip lelaki atau suami sebagai ketua keluarga, sewajarnyalah lelaki ‘lebih’ atau setanding dengan isterinya. Lantaran itulah, kaum wanita digalakkan memilih lelaki yang setanding atau lebih daripada mereka. Bagi lelaki pula, tak perlu terlalu mengira kedudukan isteri yang jauh lebih rendah daripada mereka kerana di bahu lelaki terpikul tanggungjawab untuk menjaga dan memberikan kesempurnaan hidup kepada wanita (isteri).
Di dalam banyak kes, aspek yang menjadi pertimbangan kafaah ialah rupa paras, pendidikan dan harta. Para ulama berpendapat, kafaah adalah dalam hal din atau agama dan nasab. Yang dimaksudkan dengan din atau agama, bukanlah samada seorang Islam atau bukan Islam. Hukum sudah jelas bahawa seorang wanita muslimah tidak boleh berkahwin dengan lelaki bukan Islam. Din atau agama yang dimaksudkan oleh ulama ialah keistiqamahan tadayyun atau berkekalan mengamalkan ajaran Islam iaitu melaksanakan setiap suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Pendapat ini menjelaskan bahawa seorang lelaki yang tidak mempraktikkan Islamnya adalah tidak sekufu dengan wanita yang menjaga segala suruhan dan larangan-Nya.
Lantas, kita perlu memahami, apakah maksud sebenar sekufu seperti yang dianjurkan di dalam Islam? Kembali kepada maksud firman Allah yang menyatakan bahawa perempuan yang baik adalah untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik adalah untuk perempuan yang baik. Inilah maksud sekufu yang dikehendaki dan patut serta perlu diamalkan sebenarnya. Pendapat ini berpegang teguh dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Apabila orang yang engkau redha agama dan akhlaknya datang meminang, maka kahwinkanlah dia, jika tidak kamu lakukan demikian akan berlakulah fitnah di bumi dan kerosakan yang besar.” Lalu Rasulullah SAW mengulangi ayat ini sebanyak tiga kali.
Jelas sekali kafaah yang perlu dipertimbangkan bukanlah keturunan, kekayaan, pendidikan dan sebagainya. Hadis ini juga merupakan arahan kepada para wali agar tidak menolak lamaran seorang lelaki yang baik amalan agamanya dan berakhlak mulia semata-mata lebih mengutamakan soal keturunan, pendidikan atau hartanya. Islam telah menetapkan bahawa sesiapa yang mengutamakan ajaran agama akan mendapat keharmonian di dalam hidup.